Wednesday, October 7, 2009

Semakin tinggi kedudukan, semakin kurang kestabilan

Salam...

Sahut pesanan kak g ni. Memang dah lama betul tak update blog ni. Ni lah manusia, mudah sangat lupa. Melayu ke, Arab ke, India, Cina pun sama... selagi nama manusia yang berasal dari perkataan Arab 'nasiya' yang bermaksud 'lupa'. Man+nasiya=manusia=orang yang pelupa!

Siang tadi, berbual dengan beberapa kawan guru yang baru jumpa di dewan peperiksaan PMR (kena jaga pelajar PMR exam tahun ni). Kisahnya bila guru berjumpa, tentulah pasal anak murid. Cerita beliau tentang pelajar sekarang yang terlalu sangat kurang ajarnya sampai melampau2. Selamba badak saja keluar depan2 pengetua untuk melepak dan merokok di luar kawasan sekolah. Dan pengetua itu hanya mampu memandang dan menggeleng kepala!

Dengan penuh emosi, guru tersebut (lelaki) telah meletakkan kesalahan, kejahatan, kebejatan anak-anak sekarang, pelajar-pelajar sekarang, sehinggalah mereka yang sudah besar sekarang, di bahu Menteri Pendidikan yang telah menjadi Menteri Dalam Negeri sekarang! Alasannya, dialah menteri yang mengharamkan rotan di sekolah, mengharamkan anak-anak itu dicuit dan dicubit oleh guru-guru yang mahu membetulkan kesilapan mereka, hingga mereka semua kini menjadi terlalu kurang ajar dengan guru2 dan ibu bapa!

Saya sokong. Walaupun mungkin itu bukan faktornya seratus peratus, tapi mungkin lebih 80%!

Petangnya saya berpeluang berbicara dengan seorang bekas guru yang kini menjawat jawatan di Kementerian Pelajaran yang bertanggungjawab membuat kurikulum dan silibus baru (mungkin) bercakap mengenai tanggungjawabnya yang lebih besar dan bermakna berbanding seorang guru yang hanya mengajar atau bertugas di sekolah biasa.

Ya, memang tugas dan tanggungjawab mereka besar dan sesungguhnya amat besar. Semakin tinggi dan besar jawatan dan kedudukan mereka, khususnya para pembuat dasar, semakin besar tanggungan dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Silap sedikit dalam membuat perhitungan, akibatnya juga sangat besar. Kalau seorang guru yang tersilap membuat keputusan, mungkin kesannya hanya di peringkat kelas atau sekolahnya sahaja, tapi mereka yang lebih 'besar' itu, kesannya lebih menyeluruh. Jika berpahala, pahalanya juga mungkin lebih besar, tapi jika tersilap hitungan atau keputusan, maka.... habis rosak punah satu generasi!

Kesimpulan: Kalau gayat berada di atas, tengok je lah dari bawah.. Atau pun, kalau sudah berada di atas, berhati2lah, dan berdoalah selalu supaya tidak jatuh ke bawah. Sakit sangat tu!



Thursday, July 23, 2009

Jiwa Baru di Sekolah Baru

Salam... Lama dah tak menulis kat sini. Banyak yang tak terbuat, jadi yang ini sempat jeling2 je lah.. nak upload gambar gi Perlis pun sampai terlupa. Nantilah nak buat juga...

Ini nak cerita masuk sekolah baru, selepas hampir 3 tahun tak masuk kelas. Mulai 21 Julai 2009, saya bertugas semula di SMRAN (Sekolah Men Rendah Agama Nilai). Selama ni duduk sini tak tahu pun ada sekolah agama kat Nilai tu, dekat2 dengan Mydin. Pelajar tak sampai 200 orang. Guru pun tak sampai 20 orang. Kelas hanyalah 7 buah. Kelas para pelajar pun diasingkan lelaki dan perempuan. Suasana Islami itu memang agak dirasakan.

Inilah pengalaman pertama saya bekerja di luar negeri. Memangnya agak berlainan dari suasana negeri sendiri. Hari2 dengar orang cakap nogori. Berlagu-lagu gitu. Syok pulak terikut-ikut gayanya. Pelajar2nya pula nampak jernih mukanya... Ya lah, hari-hari solat kan! Nama-nama mereka pun memang canggih-canggih selain berbunyi Islami. Memang betullah nama itu boleh membentuk peribadi... (Saya pun dah tukar nama... Ustazah Mas!)

Sekolah ini dahulunya di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Tapi tak seperti di Selangor yang sekolah agamanya memang gah dan diminati ramai, sekolah agama di NS ni seperti kurang serba-serbi. Namun dalam kekurangan itulah mereka dididik dan terdidik. Dengarnya ramai juga yang dapat melanjutkan pelajaran ke asrama penuh.

Macam-macam rasa dan perasaan pada hari-hari awal di sekolah baru ni. Harapannya, semoga ia akan menjadi lebih stabil pada masa-masa mendatang... Amin!

** Lupa pulak nak tulis jumpa seseorang yang dikenali di sekolah ini. Kak Hanim USM isteri Dr Mansur. Dia pun mengajar di sini...

Saturday, July 11, 2009

Tak Boleh Duduk Diam





Hanis, bulan depan dah masuk setahun jagung. Dapat seorang aanak yang tak boleh duduk diam macam hanis memang agak meletihkan. Tapi bila dia senyum.... hilang duka, datang bahagia!

Selalu cakap... "Hanis ni... cuba diam sekejap!" Dia memang aktif. Tak boleh diam. Ada sahaja benda yang dia nak teroka, nak telan, nak pegang. Kita pegang pun dia tak boleh diam. Memang letih.

Pagi Sabtu lepas, tiba-tiba sahaja dia diam. Bangun tidur pastu diam. Pegang badan dia, tak panas. Tapi dia diam, tak bergerak tak berbunyi. Apa hal pulak budak ni... Selalu kita nak sangat dia diam sekejap. Baru sekejap di diam, dah gelabah!

Apa nak saya kongsikan di sini ialah, kita ni kena selalu berhati2 sangat dengan kata-kata yang keluar oleh mulut kita sendiri. Jangan mengata orang, jangan merungut. Ingatan untuk diri sendiri sebenarnya. Sebab Allah tu Maha Adil. Sikit pun Dia kira. Maha Menghisab. Kita memang tak boleh lawan ketelitian-Nya dalam menghisab segala sedetik perbuatan kita. Semuanya diperhati, dicatat, dinilai, dan dibalas. Di Dunia dan Akhirat.

Takut kan...!

(Hanis ok je lepas tu... Letih dan mengantuk sebab selesema kot. Lepas tidur balik, bangun, dah ok dah. Dah tak boleh duduk diam. Biarkan saja :))

Friday, July 3, 2009

Kembara hati warisan bumi Anbiya'


Ekspedisi Terengganu, selain menyelam ke lautan biru, hasrat utama juga ialah melawat ke Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.

Tanpa kacamata (patah dikerjakan si comel), rasanya memang tak keruan. Tapi tetap punya hikmah bila kita terpaksa meneliti untuk menghayati.

Masjid Kristal. Mungkin ada nilai yang masih belum tersingkap oleh mataku yang rabun... dan matahati yang kabur!

Masjid tepian tasik, menjadi identiti masjid-masjid di Terengganu.

Berpeluang berdiri di hadapan Taj Mahal. Kehebatan cinta mampu menjadi sumber inspirasi dan inovasi tahap tertinggi.



Paling mengesankan ialah dapat masuk ke Al-Quds di Palestin ni... Dapat tengok kedudukan 'batu yang tergantung' yang nak sangat ikut Rasulullah masa Isra' Mi'raj. Terbayang saat yang bersejarah tu. Rasa macam nak ikut jugak!
Binaannya memang seperti sebenar.


Bagaikan dapat menziarahi Masjidil Haram sebenar. Ingatkan dapatlah nak buat ibadah tawaf.. :P

Ni masjid Kul Sharif, Kazan, Rusia... dibina semula selepas kejatuhan Soviet Union.

Memang banyak lagi masjid dan binaan yang hebat2 di sini. Masjid Nabawi, Al-Hamraa(Sepanyol), Blue Mosque (Turkiye), Great Mosque of Samarra (Iraq), Sheikh Lutfallah Mosque (Iran), Abu Nasr Parsa (Afghanistan), Suleyman Mosque (Turkiye), Xian Mosque (China), dan baanyak lagi di Tunisia, Syria, Uzbekistan, Nigeria, Mesir, dll. Walaupun bukan di bumi Anbiyaa sebenar, sekurang-kurangnya kita dapat mendapat gambaran yang lebih jelas dengan adanya binaan2 tersebut. Dapat merasakan hebatnya para salafussoleh bersungguh-sungguh membuat binaan yang begitu hebat dan indah, memakan masa berbelas dan berpuluh tahun, dengan penuh teliti kerana rasa cinta yang begitu tinggi kepada Khaliq-Nya, dan agama-Nya. Tanpa sedikitpun nilai-nilai komersil yang diharapkan.

Sekarang? Di zaman kecanggihan tanpa batasan, masjid2 kita tiada yang setanding masjid mereka. Tiada seni, tiada rasa. Kenapa ya? mungkinkah kerana yang membinanya bukan lagi insan yang bertaqwa dan tinggi cintanya kepada Allah, bahkan adalah buruh-buruh yang entahkan sembahyang entahkan tidak, malah lebih malang, biasanya juga adalah apek-apek yang tiada langsung rasa hormat, bahkan tanpa silu sudah melepaskan hajat di dalamnya...?


Gerbang Taman Tamadun Islam. Setelah cop passport keluar, kami pun kembali ke tanah air dengan membawa titis-titis ilmu dan pengalaman kembara hati di bumi para nabi...



Sekeping gambar seribu rasa...


Kehebatan suasana ketika matahari terbit memang sukar digambarkan dengan kata-kata...

Suasana yang sungguh sepi. Satu garisan putih menjadi sempadan antara laut dan langit...


Langit menjadi berwarna-warni... biru, ungu, merah, jingga, putih, kuning... semua bergabung menjadi suatu lukisan Tuhan yang sungguh indah!



Bila saat itu semakin hampir, sinar putih yang maha terang mula menyerap kesemua warna-warna indah tadi. Terasa kebesaran-Nya...


Terasa kedamaian dan kelembutan sinaran mentari pagi yang benar-benar melapangkan hati, mencerahkan fikiran...

Akhirnya sang mentari muncul di balik bukit. Kemunculan yang dinantikan itu disambut dengan rasa amat gembira dan bahagia... Waktu Subuh pun berakhir.


Membawa kebahagiaan kepada seluruh makhluk di muka bumi-Nya!


Keindahan matahari terbit yang belum berakhir...[Menjelang waktu Dhuha]


Semoga diberi kesempatan lagi di lain masa...


Jom balik...!


Babai Redang!!!

Sampai di Jeti Syahbandar, Pasar Payang.
tahun depan datang lagi...!


Keunikan tumbuhan di Pulau Redang:




Monday, June 22, 2009

Rehat di Redang






Sebenarnya kami dah lama tak balik Ganu ni sebab ada baby tahun lepas. Jadi bila agak2 baby tu dah boleh dicampakkan ke dalam laut biru, maka percutian kali ini sememangnya ingin dinikmati sepuasnya…

Untuk menambah seri percutian kali ini, kami ajak staf Mediasurf, Fiza, Edy dan Palee. Anak2 pun dah tak sabar sgt dah… apatah lagi terpaksa tunggu lebih seminggu dalam rumah kerana chalet yang ditempah hanya kosong pada minggu kedua.

Pada hari yang ditunggu-tunggu tu, kami bertolak kira2 jam 12 tengahari. Seperti yang dirancang, kami singgah di rumah Pija di Temerloh… lama tak pekena ikan patin nih… Sampai pukul 3 petang memang tengah lapar sangatlah. Tanpa segan silu, kami makan banyak2… Ala Pijah… sampai lupa nak ambil gambar dgn awak! Tapi terima kasih banyakkk sangat, sahabat ikan patinku!

Sampai di KT dah malam, pergi homestay D'Niq. Bak kata Fiza, "luar mcm setinggan, dalam cam kondo!!" Rumah ni kira ngam2 lah utk kami. Bilik ada tiga, semua pun ada aircond. Rumah style rumah kampung dulu2… siap ada tangga dalam rumah untuk ke ruang dapur. Lengkap. Dapur, peti ais, mesin basuh, TV, seterika… kira berbaloi lah dgn sewa RM180 semalam!

Esoknya sesuboh lagi dah kuar ke Jeti Syahbandar di Pasar Payang. Jumpa Pn Fatimah dulu… bayar2 apa yang patut. Pakej yang kami ambil ni kira murah jugaklah dapat di musim cuti sekolah yang sesak ni… Dewasa RM315, kanak2 6-12 th RM180, kanak2 3-5 tahun RM50. Ini termasuk tambang bot pergi balik, penginapan, makan 4 kali sehari, snorkeling trip 3 kali, termasuklah segala equipment… life jacket & mask. Kalau ikutkan RM365 sekepala. Tapi Cik Ayu telah memberi harga pakej luar cuti sekolah… hehe.. terima kasih Cik Ayu!

Sampai kat Pulau, lihat sajalah sebahagian gambar2 kami ni ya… Memang cantik. Ikan-ikan yang berenang kat depan chalet kami, yang sama2 berenang dgn kami besar2! Mula2 tu terkejut jugak. Macam2 kaler ada. Pelik2. Besar mcm ikan bawal, ikan merah, kat pasar tu… Kaler2 pelangi dan corak2 batik pun ada… betul nih! Snorkeling kat depan ni pun tak puas2… Kat pantai sebelah tu pulak ada 'baby shark!' berderau jugak darah mula2 ternampak tu… 3-4 ekor dok pusing2… kita pun pusing2 gak, takut tiba2 dibaham kaki yang dah terluka kena coral…

Budak2 jangan ceritalah. Luqman dan Haiyie tak nampak2… Sepanjang ada matahari (siang), kat lautlah depa. Ada abang Palee dan abang Edy melayan dia orang… tak ingat dia kat mak bapak! Hana pun tak kurang hebat… sama je naik dgn abang2 dia. Hitam legam dah semua…









Monday, June 8, 2009

Tetamu yang membawa rahmat


Ini pulak keluarga Pak Fadzil dan Ibu Saidah. Ha... sape2 yang rindu dgn Saidah, tengoklah wajahnya yang sama je macam dulu2 tu... sebelahnya tu suaminyalah, Syahrul Fadzil, dan empat orang anak2nya (yang saiz lebih besar dari anak saya walaupun sebaya) - Abdul Hadi (11), Iman (9), Syafiq (7) dan Faris (4). 

Mereka telah datang malam ini (8 Jun). Seperti biasa, makan malam, minum kopi dan borak2... cerita2 lama, cerita2 baru... kisah kawan2 'kita orang' lah kan..

Mereka datang di saat baju2 yang belum terkemas2 lagi. Nak bertolak ke Tengganu pagi2 esok. Apa perasaan anda bila ada tetamu kata nak datang di saat kita benar2 memerlukan waktu itu untuk kita? Ahh... sabar sajalah. tapi kalau yang hendak datang itu keluarga anda? ibu? adik beradik? Pernahkah kita rasa terganggu dengan kehadiran mereka?

Begitulah kami... walaupun di saat masa itu benar2 emas, namun kehadiran mereka tetap dihargai. Kesudian mereka singgah dan makan malam di rumah, tetap dialu-alukan. Apalagi bila anak2 dah meloncat2 bila dengar mereka nak datang. Kerana apa? Kerana mereka sudah seperti saudara kami juga.  Seperti adik beradik juga perasaannya...

Semoga ukhuwwah ini akan tetap ditunjangi dengan ikhlas. Disulami dengan kasih sayang. Dan dihiasi dengan ziarah menziarahi yang berkekalan. Amin ya Rabbal Alamiin.

Thursday, June 4, 2009

Akhirnya... terima kasih Kak Hasmah!


Setelah berminggu-minggu dapur kurang berasap, akhirnya hari ini semangat dapur saya pulih semula. Semangat masak, semangat makan anak-anak, semangat mengemas, mulai kembali pulih seperti sediakala. "Ada kawan umi nak datang!", kataku pada anak-anak sejak semalam. Dan kerana itu, kami pun membuat serba sedikit persediaan... pergi ke pasar, memasak, mengemas... biasalah kan. Walaupun taklah beria-ia sangat, namun sekurang-kurangnya aktiviti yang rutin dilakukan dan tergendala selama ini kerana usaha menyiapkan tesis, telah mulai mewarnai semula rumahtanggaku. 

Terima kasih kepada sahabat kami, Kak Hasmah yang telah sudi datang singgah di teratak kami hari ini, Khamis 4Jun. Rupanya sudah agak lama juga kami tak menjamu tetamu di rumah. Kak Hasmah yang telah memberitahu sehari awal untuk singgah ke rumah dalam perjalanan keluarga mereka mengambil keluarga kakaknya dari Sarawak, sememangnya sangat dialu-alukan. Dengan taraf 'sahabat', kami tak risau sangat dengan apa yang akan dijamu, asalkan kami suka, tentu mereka juga suka.

Gabungan masak lemak cili api tulang lembu orang nogori, dengan masakan tumis jawa, serta sup ayam, alhamdulillah, rasanya dapat sekurang-kurangnya mengenyangkan para tetamu. Masa pertemuan agak terhad menjadikan perbualan kami yang tentunya diselangi dengan suara hingar-bingar anak-anak semakin terhad. Bagaimanapun, pertemuan singkat ini sempat menguak kembali album nostalgia perkenalan kami di kampus UM sejak lebih 15 tahun lalu. 

Kak Hasmah, Cikgu Rasul, Fatimah, Zaidi, Fatinah, Farah, dan Sarah Sofiah... terima kasih kerana sudi datang. Datang lagi lain kali ya...!